Dari sudut akidah, tidak berlaku sama sekali perbezaan akidah antara seorang rasul yang diutus dengan rasul yang lain. Kesemua rasul membawa akidah yang satu iaitu mentauhidkan Allah Taala daripada segala sifat yang mendokong unsur-unsur syirik.
Namun dari sudut syariat yang merupakan hukum-hukum fiqh yang memandu setiap perbuatan para mukallaf, berlaku perbezaan antara setiap para nabi dengan nabi yang lain. Sebagai contoh golongan Bani Israil sebelum kedatangan Rasulullah diharamkan daripada memakan unta namun Rasulullah datang dengan syariat yang baru dengan membenarkan manusia yang beriman kepada Allah untuk memakan daging unta.
Oleh itu, syariat yang dibawa oleh Rasulullah dicipta khusus oleh Allah bagi menjadi satu perundangan hidup yang akan bersesuaian dengan semua keadaan dan masa bermula dengan pengutusan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai penutup kepada semua nabi dan rasul terdahulu sehinggalah menjelangnya kiamat.
Persoalannya adalah berhubung kait dengan permasalahan Sunnah dan Bid`ah yang banyak mengelirukan pemikiran masyarakat sehingga berlakunya tindakan sebahagian masyarakat yang membid`ahkan sebahagian amalan masyarakat Melayu di Malaysia khususnya atas alasan bahawa perbuatan dan amalan tersebut tidak dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.
Sememangnya tidak dinafikan di dalam masyarakat Melayu terdapat banyak tradisi dan amalan yang diwarisi sejak zaman berzaman yang tidak dilakukan oleh Rasulullah pada zaman baginda secara seratus peratus.
Contohnya amalan membaca Yasin pada malam Jumaat, mengadakan tahlil dan kenduri arwah, mengadakan rumah terbuka sempena hari raya dan menyambut kelahiran Rasulullah. Namun, adakah amalan-amalan ini akan menjadi haram dan bid`ah hanya semata-mata Rasulullah tidak melakukannya?
Mana-mana individu yang terus mengharamkan amalan-amalan ini semata-mata dengan hujah "tidak dilaksanakan oleh Rasulullah?, tindakan tersebut adalah silap kerana setiap perbuatan tersebut perlu diteliti secara ilmiah adakah di sana sebarang dalil yang mengharamkan perlaksanaan perbuatan tersebut secara langsung atau tidak.
Sebagai contoh, apakah sebenarnya sambutan ?Maulidurrasul?? Bagaimana cara perlaksanaan majlis tersebut? Adakah majlis itu diselang-seli dengan acara-acara yang diharamkan oleh Allah?
Seandainya maksud perayaan menyambut Hari Kelahiran Rasulullah? itu adalah satu majlis yang diadakan untuk mengingati Rasulullah yang diisi dengan ceramah agama, bacaan syair-syair Arab seperti berzanji dan Burdah Imam al-Busoiri yang memuji peribadi Rasulullah, memberi hadiah kepada fakir miskin dan sebagainya, maka majlis ini adalah dibenarkan oleh Islam sekalipun Rasulullah sendiri tidak menyambut hari kelahirannya secara jelas.
Kita bukan ingin mencipta amalan baru di dalam Islam. Kita hanya ingin membuat satu langkah untuk mengaturkan satu program yang diselitkan dengan amalan-amalan yang dibenarkan oleh Islam.
Islam meminta penganutnya agar cintakan Rasulullah dan membahagiakan masyarakat yang kurang bekemampuan. Lalu masyarakat Islam di Malaysia dan negara-negara lain mengadakan sambutan Maulid al-Rasul dengan mengadakan ceramah, memuji Rasulullah dan memberikan hadiah untuk masyarakat fakir miskin yang kesemuanya adalah untuk merealisasikan makna ?cintakan Rasul? dan ?membantu orang miskin?.
Kesimpulan awal yang boleh diutarakan kepada sidang pembaca adalah: mengadakan satu bentuk pendekatan baru yang menyokong asas-asas Islam adalah dibenarkan dan bukanlah perkara yang haram dan diada-adakan di dalam Islam (bid`ah).
Tugas untuk memastikan program yang dilaksanakan dan amalan yang dijalankan bertepatan atau tidak dengan Islam adalah tugas para fuqaha. Orang yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang ilmu Islam sama sekali tidak berhak untuk menghukum sesuatu perkara dengan label ?haram? dan ?bid`ah? hanya semata-mata kerana alasan Rasulullah tidak membuat acara dan tindakan tersebut bahkan banyak kes yang menunjukkan bahawa orang yang mengatakan Rasulullah tidak melakukan perkara begini dan begini, orang tersebut sebenarnya tidak menjumpai hadis-hadis yang menunjukkan bahawa sebenarnya Rasulullah sendiri pernah melakukan perkara tersebut.Oleh kerana pemahaman yang baik berkaitan dengan Sunnah dan Bid`ah ini adalah satu perkara yang sangat penting.
0 comments:
Post a Comment