Al-Quran terpelihara sehingga kiamat

0 comments

Kitab-kitab Allah disebut sebagai 'wahyu Ilahi' diturunkan kepada manusia berdasarkan keperluan dan kehendak semasa pada zaman yang berlainan dalam masyarakat yang berlainan.

Cara turun ayat-ayat Allah itu pun berbeza. Kepada Nabi Musa a.s. Allah turunkan at-Taurah sekali gus, tertulis di papan-papan atau di batu-batu yang dinamakan 'al-waah' di Thursina.

Sedangkan al-Quran diturunkan sedikit demi sedikit melalui perantaraan Jibril a.s. dalam jangka masa kira-kira 23 tahun.

Dalam kitab-kitab terdahulu, tidak terdapat suatu ayat yang jelas, Allah menjamin bahawa wahyu-wahyu itu tidak diubah atau dipinda oleh manusia.

Tidak seperti al-Quran, yang jelas nyata Allah menyebut (mafhumnya): “Sesungguhnya hanya Kami yang menurunkan al-Quran dan Kami-lah yang akan memeliharannya." (Surah al-Hijr, ayat 9)

Dalam Tafsir al-Qurtubi, juzuk 10 halaman empat, ketika membuat tafsiran ayat ini, beliau menyebut, bahawa ungkapan "Kami-lah yang kan memeliharannya", bermaksud Allah memeliharan al-Quran daripada sebarang penambahan dan mengawalnya daripada sebarang pengurangan.

Berkata Qatadah dan Tsabit al-Banaani, Allah SWT menjaga al-Quran daripada diubah ditambah atau dipinda oleh manusia mahupun syaitan.

Ada kisah percubaan manusia yang dirasuk atau dipengaruh oleh syaitan serta nafsu jahat mereka untuk mengubah perkataan al-Quranul Karim atau mengubah hukumnya memang pernah berlaku.

Salah satu peristiwa itu, berlaku pada zaman Khalifah al-Makmun (Abdullah bin Harun ar-Rashid, 170H - 218H, Khalifah Abbasiyah).

Menurut cerita yang disampaikan oleh Al-Husain bin Fahmi katanya, dia mendengar Yahya bin Akthum menceritakan, Khalifah al-Makmun menganjurkan majlis-majlis ilmu yang berbentuk munazarah (perdebatan) yang dihadiri ramai ulama tersohor dan orang ramai.

Antara yang hadir adalah seorang Yahudi yang zahirnya sopan, berpakaian kemas mengambil bahagian dengan memberi pandangan tidak menerima Islam, tetapi bertutur dengan bahasa indah dan teratur sehingga menarik perhatian Khalifah.

Selesai majlis pada malam itu al-Makmun memanggil Yahudi tersebut dan mendakwahkannya agar dia menerima Islam.

Bagaimanapun Yahudi tersebut menolak dengan sopan seraya berkata, "Agamaku adalah agama datuk nenekku, agama Yahudi yang tidak ada gantian dengan yang lain."

Selepas setahun kemudian, dia muncul sekali lagi, tetapi kali ini pakaiannya berubah rupa, tutur katanya berbeza dan dia menyokong Islam dengan penuh semangat dan berisi.

Selesai majlis, al-Makmun sekali lagi menjemput lelaki Yahudi tersebut dan bertanya khabar hal beliau. Kata lelaki itu, dia telah memeluk Islam.

Al-Makmun begitu ingin mengetahui bagaimana lelaki tersebut boleh berubah daripada Yahudi yang taksub dengan agamanya kepada menerima Islam.

Jawab Yahudi tersebut berkata, "Dahulu saya menolak Islam kerana saya belum mengenalinya, setelah mengkaji, mendengar dan berbahas, akhirnya saya menemui dengan kebenaran."

Sambung Yahudi itu, "Saya seorang penulis khat yang mahir dan cantik, kerja saya menulis Kitab Injil dengan merubah dan memindah isi kandungannya sesuka hati saya dan menjualnya kepada pendita-pendita agama dan orang awam.

"Saya lakukan sedemikian kepada Kitab Taurah. Kitab-kitab yang dipinda tersebut dibeli oleh rahib-rahib dan orang awam tanpa sebarang keraguan atau masalah.

"Apabila saya memulakan kerja untuk menukar serta menambah daripada al-Quran, saya berjaya menulis tiga naskhah dan saya jual kepada Warraqeen, kedai kitab biasa, tuan punya kedai tersebut bersetuju untuk membeli pada mulanya.

"Tetapi apabila dibuka beberapa lembar, dia bukan sahaja tidak mahu membelinya, malah mencampakkannya keluar dari kedainya. Kerana katanya, ini bukan al-Quran, ini telah berlaku penambahan dan pengurangan.

"Saya berbuat demikian kepada tiga kedai kitab yang berbeza. Ketika ketiga pemilik kedai memberikan respons yang sama.

"Dengan peristiwa itu, terbukalah hati saya dan saya mengetahui bahawa az-Zabur, at-Taurah dan al-Injil yang ada bukan lagi Kitab Allah. Tidak seperti al-Quran, ia tulen dan dipelihara Tuannya (Allah).

"Saya bertemu dengan ayat di dalamnya, Surah al-Hijr ayat 9. Kerana itulah saya yakin dengan al-Quran dan saya memeluknya," jelas Yahudi tersebut.

Bukan sahaja peristiwa itu, malah berlaku percubaan ada manusia cuba meminda al-Quran, namun al-Quran yang diubah dikumpul dan dimusnahkan seperti al-Quran yang pernah dicetak di Soviet Union (Rusia) suatu ketika dahulu.

Pernah berlaku di Malaysia tahun 1960-an, pegawai Masjid Negara mendapati ada al-Quran yang dipalsukan. Lalu dikumpul dan dimusnahkan.

Tidak seperti kitab-kitab lain, diubah dan dipinda oleh penulis-penulisnya yang menggunakan cara masing-masing, menulis kitab itu berdasarkan akal manusia, maka berlakulah kelainan.

Al-Qurannul Karim, datang daripada Allah SWT, dipelihara-Nya sampai ke Hari Kiamat. Wallahu a'lam.

Islam tak dapat diukur berdasarkan tingkah laku ummah

0 comments

Islam sebenar tidak boleh diukur dengan apa yang orang Islam hari ini lakukan. Jika Islam hendak diukar dengan tingkah laku umat Islam hari ini, maka akan rosaklah Islam itu.

Lihatlah pada orang Islam yang melancong ke merata dunia. Apa yang mereka lakukan? Sikap dan pakaian mereka yang tidak melambangkan budaya Islam yang sebenar.

Oleh kerana itu, apa dilakukan di negeri-negeri umat Islam di Timur Tengah, tidak semestinya melambangkan Islam sebenar.

Semua orang tahu sama ada orang Arab atau bukan Arab, tidak boleh menjadi cermin kepada Islam. Kelakuan ramai orang Islam hari ini, kebanyakannya jauh menyimpang daripada tuntutan Islam sebenar.

Demikian juga dengan negara umat Islam sama ada di Timur atau di Barat. Keadaannya sama sahaja. Selagi negara tidak melaksanakan Islam dengan sebaik-baiknya, selama itu negara-negara itu tidak boleh dianggap Negara Islam yang sebenar.

Perlu kita fahami bahawa, negara umat Islam suatu ketika dahulu, semuanya patuh dan tunduk kepada Islam, sejak zaman Nabi Muhammad s.a.w. memerintah Madinah.

Maka berubahlah negara Madinah, Makkah dan seluruh Semenanjung Tanah Arab menjadi Islam sehingga ke hari ini.

Kedudukan negara Arab yang lainnya, sebuah demi sebuah menjadi negara Islam. Maka tertubuhkan kerajaan Islam pada zaman sahabat, tabiin yang digelar Khulafa ur-Raashidin, Daulah Umaiyah, Daulah Abasiyah sehingga kepada kerajaan Islam terakhir Khilafah Uthmaniyah yang tamat pada tahun 1924.

Semuanya kerajaan-kerajaan ini melaksanakan pemerintahan berasaskan hukum-hukum Islam.

Pada 1924, berlaku tragedi di mana musuh-musuh Islam dapat mengatasi dan menguasai kekuasaan Islam, seterusnya menukarkannya kepada pemerintahan sekular.

Dasar sekular tidak memberikan ruang penting kepada agama untuk menjadi asas pemerintahan, undang-undang Islam diketepikan dan undang-undang ciptaan manusia diterima pakai.

Berlaku perang dunia pertama dan kedua, yang berakhir dengan kemenangan pihak Barat yang memusuhi Islam. Umat dan negara Islam dijadikan harta rampasan Barat.

Wilayah umat Islam difaraidkan sesama kuasa Barat, di antara mereka, Indonesia dijajah oleh Belanda, Tanah Melayu dijajah British, demikian juga negara Arab, kebanyakannya jatuh kepada kuasa Barat.

Penjajah yang menguasai negara Islam menukar keseluruhan sistem pemerintahan dan undang-undang kepada sistem mereka.

Sejak daripada itu, meskipun negara umat Islam yang dijajah sudah merdeka kini, termasuk negara-negara Arab, pengaruh penjajahan masih menebal.

Barat tidak akan memerdekakan sebuah negara umat Islam, melainkan dipastikan dahulu, negara tersebut mesti berkiblat dan berundang-undangkan Barat.

Pelbagai tekanan dan ugutan dilakukan ke atas pemerintah baru negara umat Islam, supaya mereka ditabdir dengan kehendak Barat dengan tidak mengembalikan perundangan Islam asal.

Buktinya jelas. Misalnya Algeria yang suatu ketika dimenangi oleh Parti Penyelamat Islam (FIS) pada pilihan raya umum, tetapi dibatalkan oleh pemerintah yang disokong Barat.

Palestin, di mana Hamas yang menang dalam pilihan raya secara bebas dan demokrasi, tetapi dinafikan Barat, khususnya Amerika Syarikat. Kuasa memerintah dan ekonomi disekat.

Justeru umat Islam perlu memahami dan bangun bersatu di bawah perjuangan Islam bagi membolehkan Islam yang syumul dilaksanakan seperti yang dikehendaki Allah SWT.

Kayu ukur sebenar untuk mengukur Islam dilaksanakan atau tidak, adalah menerusi al-Quran dan as-Sunnah. Selagi kehendak kedua-dua ini tidak dilaksanakan, maka selagi itulah Islam yang sebenar belum terlaksana.

Dalam satu hadis, Rasulullah s.a.w. menyebut (mafhumnya): "Pada suatu zaman nanti, umat Islam akan berhadapan dengan pelbagai percanggahan yang banyak, ingatlah ketika itu, pemerintah dengan al-Quran akan berpisah dan janganlah kamu berpisah daripada al-Quran."

Ertinya Nabi pernah memberi peringatan bahawa pada suatu zaman selepas baginda, pemerintah tidak lagi berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah, hukum al-Quran terpisah dan diketepikan oleh pemerintah.

Nabi mengingatkan kita, jangan sesekali kita terpisah daripada al-Quran, kerana itu maka, perjuangan untuk mendaulatkan Islam menjadi suatu keperluan untuk diperjuangkan sehingga akhirnya. Wallahu a'lam.

Memahami istilah kaedah Usul Fiqh

0 comments

Ilmu Fiqh amat berkait rapat dengan ilmu Usul Fiqh, ini kerana hukum Fiqh tidak dapat diputuskan kecuali dengan satu proses pembinaan hukum melalui teori atau kaedah Usul Fiqh.

Iaitu ilmu yang berkaitan dengan dasar-dasar fiqh, di dalam apa sahaja ilmu, perkara yang dikira teramat penting bagi orang yang ingin mempelajarinya ialah mengkaji dasar-dasarnya yang dapat membantu pemahaman ilmu tersebut.

Pengajian dasar-dasar sesuatu ilmu akan menjadikan pengkaji itu seorang yang mempunyai tapak yang kuat dalam memahami ilmu itu.

Ilmu yang membahaskan kaedah-kaedah yang diguna pakai untuk mengeluarkan hukum syar'i yang berkaitan dengan perbuatan mukallaf berdasarkan dalil-dalil secara terperinci.

Ia merupakan dua disiplin ilmu yang berbeza antara fiqh dan usul fiqh, justeru ramai di kalangan cendekiawan Islam ada menyebut, bahawa orang-orang yang mahir dalam ilmu usul fiqh, sekali gus mahir dalam ilmu fiqh, dan tidak mesti orang yang mahir dalam ilmu fiqh memahami dengan baik ilmu usul fiqh.

Imam Syafie adalah di antara tokoh ilmuan Islam yang menguasai kedua-dua disiplin ilmu tersebut hingga mampu melakukan ijtihad, istinbat bagi mengeluarkan sesuatu hukum.

Contoh kaedah Usul Fiqh

1. 'Sesuatu yang wajib itu tidak akan jadi sempurna, melainkan dengan adanya perkara lain yang akan menyempurnakan kewajiban itu'.

Contohnya: Kewajiban bersembahyang akan menjadi sempurna setelah seorang itu mengambil wuduk terlebih dahulu, tanpa wuduk-kewajiban sembahyang tidak akan jadi sempurna atau sah.

2. 'Jika berhimpun sesuatu yang halal dengan yang haram, maka jadilah ia haram semuanya'.

Contohnya: Dalam sesuatu majlis yang pada awalnya baik dan halal, namun dengan sebab bercampurnya benda-benda yang haram yang ditegah agama, maka ia akan menjadi haram.

3. 'Reda (bersetuju) dengan amalan yang bersifat kufur, jadilah ia kufur'.

Contohnya: Bersetuju dengan amalan rasuah walaupun tidak melakukannya, sama seperti memberi atau menerima rasuah, jika masih berdiam diri mengenainya, samalah seperti orang yang terlibat dengan rasuah.

Benarkah politik (siasah) kotor?

0 comments

Bagi warganegara yang tidak mengambil tahu mengenai perjalanan politik dalam negara, sudah tentu mempunyai alasan sendiri untuk mengatakan ketidak-persetujuan mereka tentang perjalanan sistem politik yang dilihat sebagai meruncing, apatah lagi ia dianggap kotor lagi menjijikkan oleh sesetengah pihak.

Benarkah politik di Malaysia atau di negara-negara umat Islam bersifat demikian, lebih-lebih lagi tiada mana negara-negara umat Islam yang menjalankan sistem politik yang berasaskan Siasah Syariah sebagai undang-undang tertinggi negara, kerana senario politik menunjukkan, bahawa negara-negara Arab sama ada di utara Afrika dan di Teluk lebih cenderung kepada sistem politik Sekularisme, Kapitalisme, Sosialisme dan sebagainya.

Apatah lagi jika para pemimpin negara terlibat dalam kes-kes rasuah kemudian ia ditukar kepada istilah politik wang bagi mengelabui rakyat, konspirasi jatuh-menjatuh antara satu sama lain, salah laku, skandal, mengaut keuntungan daripada projek-projek mega yang hanya berkisar di kalangan mereka sudah menjadi sinonim yang bukan lagi rahsia yang perlu ditutup.

Tindakan-tindakan negatif seumpama itu memberi impak besar kepada kelancaran perjalanan sistem politik negara, yang akhirnya mengheret rakyat untuk membenarkan tindakan mereka. Tidakkah pengamalan politik seumpama itu mencemari demokrasi yang difahami umum sebagai satu sistem yang boleh dipercayai?

Justeru, penjelasan mengenai politik sama ada kotor atau sebaliknya perlu diberi pendedahan secara ilmiah.

Ia bertujuan mendidik rakyat agar sentiasa menjadi individu warganegara yang bukan hanya sekadar menerima pelaksanaan sesuatu konsep politik, malah bersedia untuk berdebat bagi menegakkan kebenaran politik yang bersumberkan kepada wahyu kebenaran Ilahi.

Jika pelaksanaan sistem politik dalam sesebuah negara berjalan mengikut kebenaran wahyu Ilahi, maka maksud sesuatu penyelewengan dalam sistem politik tidak akan berlaku seperti yang ditegaskan.

Konsep politik dari sudut teori, praktikal

Ia merupakan antara disiplin ilmu penting serta mempunyai kedudukan tersendiri.

Ada pun dari sudut praktikal ia memberi kebaikan jika negara ditadbir mengikut lunas-lunas sistem pentadbiran dan pemerintahan berasaskan kebenaran agama yang diceduk daripada al-Quran dan hadis Nabi Muhammad s.a.w., kerana sejarah telah membuktikan bahawa sistem politik yang ditadbir oleh baginda Rasulullah s.a.w. adalah contoh terbaik sepanjang zaman.

Sehubungan itu, Imam Ibn al-Qaiyim al-Jawziah berpendapat, bahawa politik adalah satu perlakuan manusia untuk membawa kebaikan menyeluruh serta menjauhkan mereka daripada sebarang bentuk kerosakan yang bercanggah dengan hukum Syariat Allah SWT.

Politik yang baik menurut beliau, ialah satu sistem pentadbiran negara penuh suasana keadilan selari dengan tuntutan ajaran Allah dalam al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad s.a.w. (sila lihat at-Turuq al-Hukmiah fi as-Siasah al-Syar'iah m.s 13-15)

Sementara Imam al-Ghazali pula mentakrifkan politik, sebagai dunia yang menjadi tempat bercucuk tanam untuk mendapatkan hasil di akhirat.

Tidak sempurna agama melainkan dihubungkan dengan dunia, sebagaimana tidak sempurna sesebuah kerajaan tanpa agama, kerana kedua-duanya adalah kembar yang tidak boleh terpisah antara satu sama lain. Agama itu adalah pokok, pemerintah adalah penjaganya, sesuatu perkara yang tidak ada pokoknya maka ia akan hancur dan sesuatu yang tidak ada penjaganya, maka ia akan hilang. (Ihyak Ulum al-Din 1/17 bab tentang ilmu, Dar al-Makrifah, Beirut).

Konsep pemerintah menurut hukum Siasah Syar'iah

Para ulama bersepakat menyatakan, bahawa pemerintah (khalifah) adalah pengganti kepada pelaksana Syariat Islam pertama iaitu Nabi Muhammad s.a.w., di mana baginda merupakan penjaga kepada agama Islam dan dasar-dasar politik dunia yang berteraskan kepada agama.

Baginda Rasulullah s.a.w. bukan sahaja seorang pendidik, motivator, hakim, malah seorang ahli politik yang berjaya sebagai ketua negara atau pemerintah umat Islam yang disusuli dengan para pemerintah di kalangan Khulafa Rasyidun yang telah melakarkan sejarah gemilang kerana berjaya memerintah negara dengan penuh keadilan dan keharmonian hidup bermasyarakat berasaskan ilmu pengetahuan dan keimanan yang kental.

Tetapi apa yang menjadi masalah kepada rakyat di negara-negara umat Islam hari ini, ialah mereka tidak mendapatkan para pemerintah yang melaksanakan sistem politik dalam negara masing-masing yang bersih, adil, telus, kerana ia diimport daripada peraturan dan undang-undang barat yang memisahkan pentadbiran negara daripada agama.

Maka lahirlah para pemimpin atau pemerintah yang memiliki cita rasa memerintah dengan peraturan yang sedikit pun tidak ada kena mengena dengan Islam. Mereka sanggup menjadi penyambung golongan penjajah yang memisahkan rakyat daripada agama, malah memperkenalkan ideologi falsafah yang cenderung kepada mengutamakan akal semata-mata.

Justeru, lahirlah gerakan-gerakan Islam yang tersohor seperti Ikhwan Muslimun di Mesir dan beberapa negara Arab lain, Jamaat Islami di Pakistan, Masyumi di Indonesia, MILF di Filipina, PAS di Malaysia dan sebagainya yang berani memasuki arena politik kerana ia adalah sebahagian daripada ajaran Islam. Mereka melihat bahawa hukum dan undang-undang Islam tidak akan sempurna melainkan terlibat dalam politik bagi memegang kuasa eksekutif untuk melaksanakan Islam.

Sikap dan tindakan berani gerakan Islam berkenaan menceburi bidang politik, sedikit sebanyak mengubah persepsi dan tanggapan masyarakat, bahawa Islam hanya boleh dibahaskan di masjid-masjid atau pun di surau-surau, malah membebaskan pemikiran masyarakat tidak hanya beranggapan bahawa ahli politik tidak boleh bercakap mengenai agama, sedangkan baginda Rasulullah menerusi sirahnya telah membuktikan keupayaan sebagai pemimpin negara, pentadbir atau imam di masjid tanpa melakukan pemisahan antara agama dan politik.

Apabila tidak ada individu yang faham Islam dengan sebaik-baiknya menceburi politik, sudah pasti banyak elemen agama tidak boleh diperjuangkan. Ini dapat dilihat bagaimana parti-parti politik berhaluan Islam di Algeria dan Tunisia tewas dan segelintir sahaja sebagai wakil rakyat di Parlimen, maka pihak berkuasa yang berhaluan Sekular sebagai golongan majoriti telah mengisytiharkan pengharaman pemakaian hijab (tudung kepala) di universiti-universiti seluruh negara tanpa dapat dihalang kerana ketiadaan kuasa untuk menghalang.

Malah pihak berkuasa begitu angkuh dengan nada sinis mengatakan di Parlimen, bahawa pemakaian hijab itu bukan sebahagian daripada pakaian Islam, malah ia lebih kepada pakaian suku kaum tertentu, sebagaimana solat hari raya di kawasan lapang bukanlah sunnah nabi, malah ia adalah solat politik yang dicetuskan oleh pembangkang.

Justeru, tindakan kejam pemerintah dengan membelakangkan hukum-hukum Allah, sedikit sebanyak memberi gambaran yang tidak sihat mengenai Islam, pada masa sama tindakan memberi dan menerima rasuah, berkepentingan adalah di antara aspek yang dikenal pasti merosakkan imej Islam di mata masyarakat hingga menyifatkan politik adalah satu agenda atau wadah jijik lagi kotor yang sepatutnya dijauhi.

Inilah kejayaan penjajah yang berjaya menanam bibit-bibit fahaman Sekular dalam minda, cara dan gaya hidup umat Islam agar terus berbangga bahawa Sekular lebih baik daripada Islam.

Rasulullah contoh terbaik ahli politik

Islam yang dibawa oleh baginda Rasulullah s.a.w. bukan sekadar menyeru manusia seluruhnya untuk beribadat dalam konteks solat semata-mata, tetapi perkara yang lebih besar daripada itu, iaitu menjalankan tugas utama manusia di muka bumi ini menjadi khalifah Allah, dengan melaksanakan segala hukum-hakam Allah.

Apabila ia berjaya dilaksanakan dalam sebuah negara yang diperintah oleh individu yang cintakan Islam, maka seluruh bentuk ibadat khusus dan umum boleh dilakukan tanpa sebarang sekatan dan halangan.

Kekhilafahan yang dijalankan oleh baginda itu, berteraskan kebenaran wahyu Ilahi walaupun pada masa itu ayat-ayat al-Quran masih di peringkat penurunan sedikit demi sedikit, tetapi apa yang penting kesediaan dan kesanggupan baginda yang dibantu oleh para sahabat untuk mendaulatkan Syariat agama Allah dalam bentuk yang lebih praktikal.

Sebagai ahli politik berpengaruh yang mentadbir negara, baginda meletakkan asas-asas keimanan menjadi agenda utama dalam diri segenap manusia tanpa mengira perbezaan suku kaum, malah telah menyediakan dasar dalam dan luar negara yang komited kepada Islam.

Mengenai dasar politik dalam negara, baginda menyediakan asas kemudahan rakyat sama ada dari sudut pembelajaran, keperluan hidup menjadi tanggungjawab pemerintah seperti air, api dan padang rumput yang boelh dikongsi sama oleh segenapa lapisan masyarakat.

Sementara dasar luar negara pula, baginda berusaha untuk memperkenalkan Islam kepada para pemerintah melelaui para utusan baginda bagi menyakan kesediaan mereka untuk memilih Islam sebagai pegangan hidup.

Justeru, baginda mengarahkan umat Islam supaya mengeluarkan zakat dan bukan Islam pula dikenakan bayar cukai, ia tidak lain adalah bertujuan untuk keharmonian rakyat sejagat melalui agenda mantap sistem perekonomian yang berteraskan al-Quran.

Kejayaan baginda itu ditiru dan diteruskan oleh para pemimpin selepas kewafatan baginda seperti Sayidina Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Othman Affan, Ali bin Abi Talib dan beberapa pemerintah selepas itu.

Konsep agama: Ambil pengajaran Israk dan Mikraj

0 comments

Umat Islam seluruh dunia akan menyambut ketibaan peristiwa agung iaitu Israk dan Mikraj yang ada disebut dalam ayat pertama surah al-Israk tidak lama lagi. Mereka tidak akan melepaskan peluang keemasan yang datang sekali setahun dalam bulan hijriah. Ia bagaikan dinanti-nanti oleh pencinta agama Islam, kerana kepentingannya dalam mentarbiyah jiwa manusia ke arah kesempurnaan.

Israk dan Mikraj adalah salah satu peristiwa penting yang berlaku pada diri baginda Rasulullah s.a.w. Ia juga dianggap salah satu komponen daripada 'Sirah Nabawiyyah', yang bermaksud: Sirah Nabawiyyah adalah pelaksanaan Islam secara praktikal dan contoh tepat dalam menegakkan sebuah negara Islam - Syeikh Munir Muhammad al-Ghadban / Al-Manhaj al-Haraki Li as-Sirah an-Nabawiyyah, juzuk 1, Maktabah al-Wafa', Mansoorah, Mesir 1986.

Ulama berselisih pendapat dalam menentukan ketetapan tarikh berlakunya peristiwa penting itu. Menurut Ibn Ishaq ia berlaku selepas 10 tahun baginda dilantik menjadi Rasul. Az-Zuhri pula berpendapat ia berlaku setahun sebelum baginda berhijrah ke Madinah iaitu pada bulan Rabiul Awal, sementara as-Saddi menegaskan ia berlaku pada bulan Rabiul Awal, 16 bulan sebelum baginda berhijrah. Ada pun al-Hafiz Abdul Ghani Ibn Surur al-Maqdasi berpendapat ia berlaku pada 27 Rejab sebelum penghijrahan baginda ke Madinah.

Sementara Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi pula berpendapat, bahawa riwayat mengenai peristiwa Israk dan Mikraj terdapat banyak pembohongan dan riwayat palsu yang boleh menggugat kedudukan iman Muslim, kerana peristiwa tersebut tidak berlaku pada bulan Rejab berdasarkan penjelasan al-Hafiz Ibnu Hajar al-'Asqalani, di mana ia tidak berlaku pada malam 27 Rejab kerana ia tidak disokong dengan hadis-hadis Sohih atau pun kata-kata Sahabat yang Sohih.

Itulah juga pendapat Imam an-Nawawi daripada mazhab Imam as-Syafie dan Imam Abu Ishaq yang berpendapat bahawa Israk Mikraj berlaku pada malam 27 Rabiul Awal. Justeru tiada nas yang menyebut keistimewaan beramal pada hari tersebut, sama ada dengan ibadat puasa atau yang lain, kerana puasa pada hari yang tidak jelas bila berlaku peristiwa itu adalah sebahagian daripada perkara bidaah, kerana tiada nas yang jelas menyuruhnya, tetapi jika kebetulan ia jatuh pada hari Isnin atau Khamis, puasa yang dilakukan itu dibolehkan kerana Nabi sering melakukannya.1

Tetapi apa yang penting diambil iktibar daripada peritiwa itu, ialah pengajaran mengenai perjalanan baginda dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa dan mikraj Rasul hingga ke langit ketujuh (Sidratul Muntaha).2

Adapun berpuasa sunat pada bulan Rejab secara umumnya adalah sesuatu digalakkan berdasarkan satu hadis do'if yang disebut oleh Imam as-Suyuti daripada Ibnu Abbas, baginda bersabda maksudnya: "Sesiapa yang berpuasa sehari dalam bulan Rejab, dia bagaikan berpuasa satu bulan, sesiapa yang berpuasa tujuh hari, maka dia tidak akan dimasukkan ke dalam neraka (kerana ia telah ditutup buatnya), sesiapa yang berpuasa sepuluh hari, maka segala kejahatannya diganti dengan segala kebaikan." 3

Adakah Israk berlaku dengan roh dan jasad Nabi?

Musuh-musuh Islam terutamanya di kalangan Orientalis barat, telah meletakkan jarum-jarum mereka dalam penulisan buku-buku sejarah dan sirah baginda Rasulullah s.a.w. Ia bertujuan agar umat Islam yang membacanya akan terkeliru dengan fakta sebenar mengenai perjalanan Israk dan Mikraj.

Mereka berpendapat, bahawa peristiwa Israk dan Mikraj hanya berlaku dalam mimpi baginda, iaitu hanya dengan roh sahaja dan tidak dengan jasad sekali, itu hanya dakwaan Muhammad semata-mata.

Namun bagi para ulama pula, mereka sepakat menyatakan bahawa Israk dan Mikraj yang berlaku ke atas baginda Rasulullah s.a.w. dengan roh dan jasad sekali, tidak hanya dengan roh seperti yang didkawa oleh musuh-musuh Islam.

Ini kerana mereka berpendapat, bahawa ungkapan perkataan 'hamba-Nya' dalam ayat pertama mengenai Israk merangkumi roh dan jasad pada diri seorang insan khususnya Nabi Muhammad s.a.w., sedangkan ia berlaku hanya dengan roh sahaja adalah berdasarkan riwayat-riwayat palsu yang sengaja untuk melemahkan keperibadian Rasulullah.

Sedangkan terdapat riwayat menunjukkan bahawa baginda menerima pensyariatan ibadat solat lima waktu secara langsung daripada Allah SWT adalah dengan roh dan jasad, itulah satu-satu ibadat khusus yang diberikan Allah secara langsung kepada baginda berbeza dengan ibadat-ibadat lain.

Program masjid ke masjid menjadi ukuran hiburan baginda

Peristiwa Israk dan Mikraj berdasarkan penjelasan para ulama berlaku sebelum penghijrahan baginda ke bumi Madinah. Ia sebagai satu pendekatan Allah untuk menghiburkan Nabi-Nya yang kehilangan dua tonggak kekuatan dakwah baginda, iaitu bapa saudaranya Abu Talib dan isteri tercinta iaitu Sayidatina Khadijah.

Sebagai manusia, baginda juga merasa sedih dan pedih dengan kematian dua orang penting yang banyak berjasa dalam mengembangkan sayap-sayap Islam di Makkah, namun Allah SWT mahu baginda terus berhubung kepada-Nya dalam keadaan yang penuh dengan kesedihan dan kemurungan.

Maka Allah Yang Maha Bijaksana telah merancang satu program berbentuk keagamaan, iaitu program masjid ke masjid, iaitu daripada Masjid al-Haram di Makkah ke Masjid al-Aqsa di Palestin, inilah contoh terbaik satu bentuk hiburan bagi menghilangkan perasaan gundah gulana yang dialami baginda selepas kematian dua tokoh terpenting.

Ia berlaku dalam semalaman sahaja yang menandakan bahawa Allah mampu bertindak demikian, walaupun ramai di kalangan manusia tidak mempercayainya malah menafikannya, sehingga pada waktu itu datang Abu Bakar as-Siddiq tanpa mengambil masa panjang terus mengiyakan peristiwa berkenaan.

Hasil daripada program masjid ke masjid

Yang paling penting daripada peristiwa Israk dan Mikraj, ialah baginda menerima kewajipan solat lima waktu yang dijemput Allah secara langsung di langit yang ketujuh.

Walaupun pada peringkat awal, Allah mewajibkan 50 waktu solat yang dijangkakan bahawa umatnya tidak mampu untuk melakukannya atas nasihat Nabi Musa a.s, maka baginda terus melakukan tawar menawar dengan Allah agar dikurangkan kepada jumlah yang sedikit.

Baginda berjumpa dengan Allah dengan merayu kepada-Nya supaya ia dikurangkan, dengan perasaan malu baginda tetap berjumpa Allah sehingga ia dikurangkan kepada lima waktu, itulah pengorbanan dan ingatan baginda terhadap umatnya.

terdapat di kalangan umatnya tidak berterima-kasih kepada baginda kerana sanggup meninggalkan solat fardu berkenaan, walaupun kita hanya melakukan lima waktu, tetapi diganjari dengan lima puluh pahala, berbeza dengan umat terdahulu, lima puluh waktu solat hanya diganjari satu pahala setiap solat. Inilah kelebihan kita sebagai pengikut dan umat Nabi Muhammad, tetapi mengapa masih ramai yang mengabaikan tanggungjawab ini, sedangkan solat adalh perkara pertama yang ditanya oleh Allah pada hari Qiamat, tidak yang lain.

Baginda mengimamkan solat nabi-nabi sebelum dimikraj

Baginda Nabi Muhammad s.a.w. sebelum berangkat dengan 'Buraq' untuk menuju langit ketujuh, menjadi imam solat kepada nabi-nabi terlebih dahulu, antaranya Nabi Musa a.s., ia berdasarkan sebuah hadis, di mana baginda bersabda: "Jika Musa bin Imran diutus di kalangan kamu, maka tiada sebab dia menjadi salah seorang pengikutku."

Suasana solat berjemaah yang diimamkan oleh baginda nabi Muhammad s.a.w. itu menunjukkan bahawa para nabi semuanya akur terhadap kedudukan baginda sebagai Rasul terakhir yang menyempurnakan syariat agama Allah.

Mereka bersalaman antara satu sama lain sebagai tanda kesyukuran dan simbolik menyerahkan tugas kerasulan kepada Nabi Muhammad s.a.w., ia juga sebagai satu petanda betapa hubungan antara Masjid al-Haram dan Masjid al-Aqsa begitu intim dan akrab, apatah lagi majoriti para nabi di kalangan Bani Israil yang merupakan kiblat pertama umat Islam di muka bumi ini, selain menjadi syiar agama Islam terdahulu.

Ia juga menunjukkan bahawa kepimpinan baginda Rasulullah s.a.w sebagai Nabi terakhir diperakui oleh Allah, sebagaimana yang ditegaskan menerusi beberapa ayat al-Quran mengenainya.4

Pengajaran penting daripada Israk dan Mikraj

Menurut Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi, menerusi peristiwa berkenaan, kita boleh fokuskan kepada dua perkara penting, pertama berhubung dengan Masjid al-Aqsa dan hubungan dengan Masjid al-Haram, kedua mengenai kewajipan solat yang diserahkan Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Persoalannya di sini, mengapa Allah tidak memperjalankan baginda terus ke langit ketujuh, tetapi singgah dahulu di Masjid al-Aqsa?

Ini kerana Allah mahukan agar baginda bertemu dengan para Anbiya terlebih dahulu bagi menyatakan sokongan padu mereka terhadap kerasulan Nabi Muhammad, di samping mahu baginda singgah di sebuah tempat yang penuh dengan keberkatan daripada Allah SWT seperti yang disebut dalam ayat pertama surah al-Israk.

Kepimpinan baginda menjadi titik tolak penyatuan akidah dan syariat di kalangan para Anbiya, justeru baginda menjadi imam solat kepada mereka, iaitu kepimpinan bersifat global, bukan hanya untuk kaum atau bangsa tertentu, malah buat manusia sejagat yang terdiri daripada pelbagai etnik, suku kaum, bangsa yang menunjukkan kebesaran Allah dalam mencipta makhluk bernama manusia.5

Hubungan Masjid al-Haram dan Masjid al-Aqsa tidak dapat disangkal oleh individu Muslim yang sayangkan agamanya. Ini kerana dari segi sejarah menunjukkan Masjid al-Aqsa adalah kiblat pertama umat Islam sebelum berpindah kepada Masjid al-Haram hingga ke hari ini.

Justeru adalah menjadi tanggungjawab semua pihak khususnya di kalangan umat Islam membebaskan Masjid al-Aqsa dari cengkaman rejim Yahudi-Israel, kerana ia ada kaitan dengan persoalan akidah mereka.

Pengajaran kedua terpenting menerusi peritiwa Israk dan Mikraj, ialah pelaksanaan ibadat solat lima waktu, ia merupakan mikraj (lif/tangga) seorang Muslim menghadap Tuhannya, kepentingan solat juga tidak dapat dipersoal oleh mana-mana individu Muslim, walau apapun jawatan dan kedudukannya dalam masyarakat.

Apabila solat seseorang itu beres dengan Tuhannya, maka akan bereslah urusan hidupnya yang lain, hubungan roh seorang muslim itu sangat penting dengan Tuhannya, justeru ia ada kaitan dengan kedua-dua masjid yang disebutkan di atas.

Apabila seseorang itu menunaikan solat dengan penuh khusuk dan tawaduk, dia seolah-olah sedang berkata-kata dengan Allah, ia terserlah ketika membaca al-Fatihah tujuh belas kali sehari semalam, untuk menyatakan munajat dan aduannya kepada Allah bagi memudahkan tugas dan peranannya untuk menyeru manusia ke jalan kebenaran.6

1 Prof Dr Yusuf al-Qaradawi, soal jawab dalam Islamonline.net 17/8/06 (Puasa pada 27 Rejab)

2 Ibid - soal jawab dalam Islamonline.net 9/7/08 (Benarkah Israk berlaku pada malam 27 Rejab.

3 Syeikh Atiah Saqar. soal jawab agama di Islamonline 17/7/2007 (Puasa pada bulan Rejab)

4 Syeikh Jaafar Ahmad at-Talhawi. soal jawab agama dalam Islamonline.net 30/8/04 (Kepimpinan baginda Rasulullah terhadap para Anbiya pada malam Israk dan Mikraj).

5 al-Qaradawi. soal jawab agama dalam islamonline.net 8/8/07 (Pengajaran penting daripada peristiwa penting Israk dan Mikraj).

6 Ibid.

Kedah The Champion

0 comments

Rabiah Al-Adawiyah

0 comments

Beliau juga biasa dipanggil Ummul-Khair binti Ismail. Beliau seorang wanita terpandang yang mulia, menjadi peribadi wanita yang menonjol di kalangan wanita-wanita solehah, ahli ibadat, wara’ dan zuhud. Para ulama dan orang yang bertaqwa biasa mengunjunginya, kerana dengan melihat kebaikan, ketaqwaan dan ibadah yang banyak dilakukannya, mereka dapat memperoleh ketenteraman bagi jiwa mereka dan mengingatkan mereka kepada Allah.
Benar, itulah dia rabi’ah Al-Adawiyah, yang kerana takdir Allah beliau pernah jatuh ke tangan sorang lelaki zalim sebagai tawanan. Beliau ditahan dalam jangkawaktu yang lama, lalu dijual kepada lelaki lain yang tidak kalah kasarnya dari lelaki sebelumnya. Tetapi beliau sabar dan tetap dalan kesabarannya sehingga akhirnya Allah membebaskan beliau dari kesulitannya itu.
Beliau telah menghabiskan hidupnya untuk beribadah, membimbing dirinya ke arah kebaikan dan ketaqwaan. Beliau merupakan manusia teladan dikalangan wanita-wanita muslimah, mukminah, ahli ibadah, zuhud dan tawadhu’.Cinta kepada Allah S.W.T adalah cetusan dari perasaan cinta dan rindu yang mendalam kepadaNya. Rabiatul Adawiyah seorang wali, beliau berkata:"Aku mengabdi kepada Allah bukan kerana takut kepada neraka...bukan pulak ingin masuk syurga, tetapi aku mengabdi kerana cintaku dan rinduku kepadaNya" dan Dan" Tuhanku jika kupuja Engkau kerana takut pada neraka, bakarlah aku di dalamnya, dan jikaku puja Engkau kerana mengharapkan syurga, jauhkanlah aku daripadanya, tetapi jika Engkau ku puja semata-mata kerana Engkau maka janganlah sembunyikan kecantikanMu yang kekal dariku."
Perasaan cinta yang telah meresap ke dalam lubuk hati Adawiyah menyebabkan dia mengorbankan seluruh hidupnya semata-mata untuk beribadah kepada Allah S.W.T. Cinta Adawiyah kepadaNya merupakan cinta suci, murni dan sempurna seperti yang disenandungkan dalam syairnya:

aku mencintai-mu
dengan dua cinta
cinta kerana diriku
dan cinta kerana diri-Mu
cinta kerana diri-Mu
adalah keadaanku sentiasa
mengingati-Mu
cinta kerana diri-Mu
adalah lantaran keadaan-Mu
menyingkap tabir hingga
Engkau kulihat.

Cinta kepada Allah S.W.T memenuhi jiwa Adawiyah sehingga dia menolak setiap lamaran. Dia mensyaratkan sesiapa yang hendak mengahwininya harus meminta izin kepadaNya.
Ketika seseorang bertanya: "Apakah engkau benci pada syaitan?" Dia menjawab: "Tidak, cintaku kepada Tuhan tidak meninggalkan ruang kosong dalam diriku untuk rasa benci pada syaitan." Ketika ditanya pula cintanya kepada Nabi Muhammad S.A.W, Adawiyah menjawab: "Aku cinta kepada Nabi S.A.W tetapi cintaku kepada khalik memalingkan diriku dari cinta kepada makhluk."
Ketika ajalnya hampir tiba, beliau memanggil pembantunya dan berkata kepadanya, "Jangan kematianku ini menyusahkanmu. Kafanilah aku dengan jubahku ini."
Maka setelah meninggal dunia, jasadnya dikafani dengan jubahnya dan kain tudung yang diperbuat dari bulu domba yang biasa dipakainya, lalu beliau dikuburkan di Baitul Maqdis pada tahun 135H. Allah merahmati Rabi’ah Al-Adawiyah dan menerimanya di sisiNya dalam golongan para penghuni syurga.

Be For & After Married

0 comments

Before marriage.. I die for you.. After marriage.You die, up to you. Lagi lama married.. You die I help you!
Before marriage.. You go anywhere..I follow you. After marriage... You go anywhere..up to you. Lagi lama married...You go anywhere...better get lost!!
Before wedding - "you are my heart, you are my love" After wedding - "you get on my nerves."
Before wedding - "you are sweet and kind just like Cinderella" After wedding - "you are worse than godzila."
Before wedding - Roses are red, violets are blue Like it or not, I'm stuck with you After wedding - Roses are dead, I am blue You get on my head, I will sue you (intermission)-XLF3-
Before wedding - Every makan he brings you to Shangri-La After wedding - You want to go, he says you wait-la
Before wedding - She looks like Anita Sarawak After wedding - Don't know whether katak or biawak
Before wedding - Weekends at Cameron, Genting and Fraser's Hill After wedding - Furthest you go is Gasing Hill
Before wedding - He opens the car door After wedding - He opens his mouth and snores
Before wedding - She / he was your ideal After wedding - She / he becomes your ordeal
So beware of the consequences
Just For Fun

Antara Kawan Dan Kekasih

0 comments

Ramai orang mengutamakan kawan dari kekasih ... dan ada juga mengutamakan kawan kerana kekasih ... anda tergolong dari yang mana ... hadirnya seorang kekasih sejati sebagai pelengkap kehidupan dan mengisi kekosongan hati ... hadirnya kawan sebagai sahabat sejati ... berkongsi segala suka duka dan teman sepermainan dan belajar ....
Antara kawan dan kekasih Yang mana harus kupilih. Kawan pengubat kesunyian, Kekasih penyembuh kelukaan. Antara kawan dan kekasih Yang mana harus didahulukan. Kawan tempat mengadu, Kekasih tempat bermadu. Antara kawan dan kekasih Keduanya tak bisa kusisih. Kawan menghulurkan bantuan, Kekasih menghulurkan sokongan. Antara kawan dan kekasih Keduanya aku harapkan. Kawan sekuntum senyuman, Kekasih sepenuh perhatian. Antara kawan dan kekasih Bilakah akan kutemui. Kawan sejujur kata,Kekasih setulus setia. Andai kawan itu kekasihku Andai kekasih itu kawanku Akan kuhadiahkan Sedalam lautan Setinggi kayangan Kasih sayang tiada sempadan