Jangan permainkan hukum Allah

Allah berfirman bermaksud: "Wahai orang beriman, jadilah kamu orang menegakkan keadilan dan menjadi saksi kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu. Jika ia kaya atau miskin, maka Allah lebih berhak (engkau takuti) daripada kedua-duanya." (Surah an-Nisa', ayat 135)

Begitu juga terhadap musuh yang tidak disukai, hukum tetap ditegakkan dengan adil dan saksama. Firman Allah bermaksud: "Jangan sekali-kali kebenaranmu terhadap suatu kaum membuatmu tidak dapat bersikap adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa." (Surah Ma'idah, ayat 8)

Tidak ada harga untuk hukum dan tidak ada orang terhormat di mata hukum. Rasulullah SAW pernah memenangkan Ammar bin Yassar ketika berselisih dengan Khalid bin al-Walid, dan Baginda juga pernah menyalahkan Abu Zar al-Ghifari ketika beliau bermasalah dengan Bilal bin Rabah. Pada hal, Khalid dan Abu Zar adalah orang terhormat, sementara Ammar dan Bilal, bekas hamba.

Jika wujud amalan jual beli hukum (mempermainkan hukum Allah), hal ini ditegaskan Rasulullah SAW dalam sabda yang bermaksud: "Penegak hukum itu ada tiga, satu di syurga, dan dua dua di neraka. Adapun yang di syurga, iaitu orang mengetahui kebenaran dan dia memutuskan berdasarkan kebenaran. Sedangkan di neraka, adalah orang mengetahui kebenaran, namun dia sewenang-wenang dalam memutuskan hukum. Juga orang yang mengadili dengan kebodohan, maka dia di neraka." (Hadis riwayat Abu Daud, at-Tirmizi)

Mempermainkan hukum membawa padah kepada masyarakat. Abis al-Ghifari berkata: "Ada enam perkara yang aku dengar daripada Rasulullah SAW dan aku takut jika aku mengalami sebahagiannya, mempermainkan hukum, menumpahkan darah sia-sia, penguasa yang bodoh, banyaknya nepotisme, putusnya silaturahim, dan orang menjadikan al-Quran sebagai seruling yang dilagukan." (Hadis riwayat al-Hakim, at-Tabarani)

Erti adil ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Allah berfirman: "Sesungguhnya Allah memerintahmu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan apabila kamu menetapkan hukum di antara manusia hendaklah kamu menetapkannya dengan adil saksama. Sesungguhnya Allah Maha mendengar dan melihat." (Surah an-Nisa', ayat 58)

Setiap kebaikan pasti ada nilai keutamaannya, begitu juga menegakkan keadilan dan hukum. Paling sedikit ada tiga keutamaan yang akan diperoleh dalam kehidupan dunia dan akhirat apabila mengutamakan keadilan serta hukum Allah. Pertama, lebih dekat kepada takwa. Kedua, disayangi Allah dan ketiga, memperoleh keselamatan.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan berlaku adillah, sesungguhnya Allah menyayangi orang yang berlaku adil." (Surah al-Hujurat, ayat 9)

Keselamatan adalah hasrat setiap insan. Setiap manusia akan berlumba-lumba supaya selamat dan berusaha memperolehnya. Salah satunya adalah berlaku adil, baik kepada orang yang kita suka, mahupun kepada orang dibenci.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tiga perkara yang dapat menyelamatkan, takut kepada Allah, pada waktu sembunyi (sepi) mahupun terang, berlaku adil, pada waktu rela mahupun marah, dan hidup sederhana, pada waktu miskin mahupun kaya." (Hadis riwayat at-Tabarani)

Sudah menjadi tugas semua untuk menegakkan keadilan dan hukum serta menghancurkan kezaliman baik dalam kehidupan peribadi, keluarga, jiran tetangga, masyarakat dan negara.
Sesungguhnya kita diberi contoh panduan dan tunjuk ajar oleh Rasulullah SAW mengenai sikap dan peranan yang mesti dijalankan supaya sentiasa berlaku adil dalam perbuatan serta kehidupan di dunia.

0 comments: