Memahami istilah kaedah Usul Fiqh

Ilmu Fiqh amat berkait rapat dengan ilmu Usul Fiqh, ini kerana hukum Fiqh tidak dapat diputuskan kecuali dengan satu proses pembinaan hukum melalui teori atau kaedah Usul Fiqh.

Iaitu ilmu yang berkaitan dengan dasar-dasar fiqh, di dalam apa sahaja ilmu, perkara yang dikira teramat penting bagi orang yang ingin mempelajarinya ialah mengkaji dasar-dasarnya yang dapat membantu pemahaman ilmu tersebut.

Pengajian dasar-dasar sesuatu ilmu akan menjadikan pengkaji itu seorang yang mempunyai tapak yang kuat dalam memahami ilmu itu.

Ilmu yang membahaskan kaedah-kaedah yang diguna pakai untuk mengeluarkan hukum syar'i yang berkaitan dengan perbuatan mukallaf berdasarkan dalil-dalil secara terperinci.

Ia merupakan dua disiplin ilmu yang berbeza antara fiqh dan usul fiqh, justeru ramai di kalangan cendekiawan Islam ada menyebut, bahawa orang-orang yang mahir dalam ilmu usul fiqh, sekali gus mahir dalam ilmu fiqh, dan tidak mesti orang yang mahir dalam ilmu fiqh memahami dengan baik ilmu usul fiqh.

Imam Syafie adalah di antara tokoh ilmuan Islam yang menguasai kedua-dua disiplin ilmu tersebut hingga mampu melakukan ijtihad, istinbat bagi mengeluarkan sesuatu hukum.

Contoh kaedah Usul Fiqh

1. 'Sesuatu yang wajib itu tidak akan jadi sempurna, melainkan dengan adanya perkara lain yang akan menyempurnakan kewajiban itu'.

Contohnya: Kewajiban bersembahyang akan menjadi sempurna setelah seorang itu mengambil wuduk terlebih dahulu, tanpa wuduk-kewajiban sembahyang tidak akan jadi sempurna atau sah.

2. 'Jika berhimpun sesuatu yang halal dengan yang haram, maka jadilah ia haram semuanya'.

Contohnya: Dalam sesuatu majlis yang pada awalnya baik dan halal, namun dengan sebab bercampurnya benda-benda yang haram yang ditegah agama, maka ia akan menjadi haram.

3. 'Reda (bersetuju) dengan amalan yang bersifat kufur, jadilah ia kufur'.

Contohnya: Bersetuju dengan amalan rasuah walaupun tidak melakukannya, sama seperti memberi atau menerima rasuah, jika masih berdiam diri mengenainya, samalah seperti orang yang terlibat dengan rasuah.

0 comments: