Kemenangan rakyat

Pada ketika PAS sibuk mengadakan Muktamar Tahunannya yang ke-54 di Ipoh pertengahan bulan ini, rakyat kini berada di ambang pengambilan kuasa kerajaan Pusat. Pilihan raya kecil Permatang Pauh juga akan diadakan Ogos ini, selepas itu ulang tahun ke-51 kemerdekaan negara seterusnya tanggal mendebarkan 16 September (hari ulang tahun penubuhan Malaysia), tanggal dijanjikan Anwar Ibrahim kuasa akan diserahkan kepada rakyat. Dakwaan peralihan kuasa ini adalah berdasarkan pengalaman dan kisah lampau. Mana-mana kerajaan yang berada di jurang kejatuhan akan melakukan kezaliman peringkat tertinggi, kemudian mereka lenyap daripada takhta kuasa.

Contoh terbaik adalah kisah Israk Mikraj yang disambut umat Islam ketika ini. Selepas pengalaman Rasulullah s.a.w. diisrakkan dari Masjid al-Haram di Makkah ke Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis, dan kemudian dimikrajkan ke Sidratul Muntaha, tentangan Musyirikan Makkah sampai ke kemuncak sehingga mereka mahu membunuh Nabi Muhammad s.a.w. Berikutan itu Nabi Muhammad s.a.w. berhijrah ke Madinah, membuka laluan kepada penubuhan negara Islam Madinah; seterusnya membawa kejayaan gilang gemilang penyebaran Islam ke seluruh pelosok dunia.

Di alam Melayu juga, kezaliman peringkat tertinggi membawa kepada kejatuhan sesebuah kuasa (kerajaan) seterusnya membuka laluan kepada sesebuah kerajaan baru. Jika kita saksikan filem-filem Melayu lama, dipaparkan adegan kerajaan-kerajaan seperti Singapura, Melaka, Majapahit, Johor dan Aceh, jatuh disebabkan berlaku kezaliman, seterusnya diambil alih kerajaan baru.

Di Singapura berlaku pembunuhan terhadap Sang Rajuna Tapa, di Melaka terhadap Bendahara Tun Mutahir dan di Johor Lama terhadap Dang Anum, isteri Megat Seri Rama yang mengidam memakan nangka raja. Ketika ini di negara kita berlaku fitnah paling dahsyat sejak negara mencapai kemerdekaan. Fitnah itu dilakukan dalam bentuk paling jijik ke atas pemimpin umum KeADILan, Anwar Ibrahim yang dilihat menjadi pencabar paling hebat mereka yang berada di koridor kuasa. Kezaliman jelas dalam kes Anwar kerana ia tidak diadili mengikut hukum-hakam Islam sehingga Mahkamah Syariah pun takut membicarakannya. Sekalipun tok-tok guru agama ditegah membicarakan hal-hal sensitif dalam kelas pengajian mereka di masjid, ada yang tidak dapat membendung rasa hati.

Dalam salah satu kelas pengajian yang dihadiri penulis, tuan guru berkenaan berkata; mengikut hukum, seseorang yang mendakwa sesuatu perkara terhadap individu lain dia perlu membawa saksi dan bukti, dan dalam kes berat seperti zina (atau liwat), penuduh wajib mendatangkan empat orang saksi yang betul-betul menyaksikan kejadian itu dengan mata mereka sendiri.

Kata tok guru itu, orang yang dituduh tidak bersalah sehingga dibuktikan dia bersalah. Orang yang menuduh tidak diperlukan bersumpah dengan nama Allah atau menjunjung al-Quran bagi membuktikan kebenarannya seperti dikehendaki pelbagai pihak sekarang ini. Malah dalam bersumpah, hanya perlu menyebut nama Allah, tidak perlu menjunjung atau meletakkan tangan di atas al-Quran seperti diuar-uarkan pelbagai pihak sekarang ini. Apa yang dikehendaki daripada penuduh adalah mendatangkan empat orang saksi, jika gagal dia akan dikenakan qazaf iaitu 80 kali sebatan. Orang yang dituduh boleh bersumpah dengan nama Allah, menafikan dakwaan tersebut seterusnya membersihkan namanya, kata tok guru.

Berdasarkan keengganan mengikut hukum-hakam Islam, pemerintah sudah berlaku zalim; apatah lagi berdasarkan perkembangan semasa, pelbagai keraguan timbul seperti pihak polis masih mencari dan mengumpul bahan bukti sedangkan dakwaan yang memalu dan memualkan seluruh anak bangsa apatah lagi agama diperbesar-besarkan media sedangkan Islam menyuruh menutup aib seseorang. Tidakkah negara dan masyarakat terutama orang Islam dimalukan sedemikian rupa dengan kisah 'lendir' ini yang sepatutnya ditutup. Kisah-kisah jijik ini tidak sewajarnya dimainkan oleh semua media massa termasuk akhbar alternatif.

Buat apa melayan dakwaan gila ini, sebaik-baik tumpukan perhatian atau fokus kepada usaha pembangunan rakyat dari segi kerohanian dan prasarana apabila berkuasa nanti. Bukankah rakyat kini di ambang kuasa, jadi usah dilayan kemaruk orang yang akan kehilangan kuasa!. Apakah mereka yang zalim di koridor kuasa ini tidak takut akan balasan Allah SWT? Ingatlah pada kezaliman lalu, Allah Taala telah menurunkan bala dalam bentuk tsunami yang menghancurkan bahagian-bahagian tertentu Nusantara iaitu di Aceh, selatan Thailand dan utara Semenanjung Malaysia. Dalam tragedi berkenaan hampir 200,000 orang terkorban. Tok guru berkenaan juga mengingatkan bahawa dua daripada tiga hakim akan dilontarkan ke neraka manakala pemerintah yang mengikut hawa nafsu syahwat seperti memenangkan kroni, makan suap; merekalah paling dimurkai Allah SWT dan jauh daripada rahmat-Nya. Berdasarkan hakikat sejarah, kerajaan zalim akan tumbang dan digantikan kerajaan baru yang memberi harapan kepada seluruh rakyat. Insya-Allah ia akan berlaku pada masa terdekat ini.

0 comments: