Kesejahteraan keluarga

Kesejahteraan keluarga adalah faktor utama yang menjamin kelangsungan masyarakat dan kerajaan serta kekuatan bagi sebuah negara. Demikian pertegasan Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak pada Majlis Perjumpaan Menteri Besar Kedah Bersama Pegawai-pegawai Kerajaan dan Orang Ramai Daerah Bandar Baharu di Dewan Sri Serdang di sini baru-baru ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pelaksanaan Program Baiti Jannati di daerah itu. Terang beliau, Baiti Jannati bermaksud 'Rumahku, Syurgaku' di mana syurga rumah tangga itu ialah kewujudan sebuah rumah tangga yang penuh dengan kedamaian, kasih sayang dan kemesraan.

"Untuk itu, selain memberi perhatian pembangunan fizikal, kita juga akan memberi tumpuan membimbing rakyat untuk hidup bahagia dan sejahtera," ujarnya menyatakan komitmen Kerajaan Negeri.

Menurut Ustaz Azizan, tidak ada maknanya mempunyai pendapatan tinggi dan wang yang banyak tetapi tidak dapat hidup dalam keadaan stabil, tidak harmoni dan bahagia. Oleh itu katanya, pembangunan fizikal dan kesejahteraan rumah tangga perlulah seimbang agar segala gejala tidak sihat yang memeningkan banyak pihak dapat dihindari.

0 comments: