Amaran oleh Rasulallah

Saya merasakan perlu memberi ingat kepada saudara-saudara sekalian kepada satu bencana yang akan berlaku sebagaimana yang telah diberi amaran oleh Rasulullah saw di dalam beberapa hadisnya dengan sabdanya yang bermaksud:

"Takutlah kamu kepada Allah SWT dalam perkara-perkara yang berhubung dengan kaum perempuan."

Kita melihat di akhir-akhir ini kaum wanita menjadi fitnah dan bencana yang digunakan oleh mereka yang bertujuan untuk meruntuhkan akhlak umat Islam. Mereka menjadi sasaran apabila batang tubuh mereka dijadikan alat untuk mengiklankan barang-barang jualan walaupun barang-barang tersebut tidak ada kena mengena dengan kaum wanita.

Batang tubuh wanita dijadikan punca kepada maksiat apabila berlaku kelakuan mendedahkan aurat di kalangan mereka. Allah WST menentukan bahawa Rasulullah saw mendidik keluarga dan isteri-isteri baginda terlebih dahulu sebelum memberi pendidikan kepada orang lain sebagaimana firman Allah di dalam al-Quranul Karim yang bermaksud:

"Wahai nabi, katakan kepada isteri-isterimu, jika kamu sekalian inginkan kehidupan dunia dan perhiasannya, maka marilah supaya Aku berikan kepada kamu, kemudian Aku ceriakan kamu dengan cara yang baik. Dan jika kamu sekalian menghendaki (keredhaan) Allah dan rasul-Nya (kebahagiaan) hari akhirat, maka sesungguhnya Allah menyediakan kepada sesiapa yang berbuat baik di antara kamu pahala yang besar."
(Surah Al-Ahzab: ayat 28-29)

Begitulah Allah SWT memerintahkan Rasulullah saw supaya mendidik isteri-isteri baginda supaya berpegang dengan agama dan mendidik keluarganya supaya mematuhi perintah Allah SWT. Kita melihat kedua ibu bapa pada hari ini kurang memberi perhatian kepada pantang larang agama terutamanya di dalam perkara menutup aurat di kalangan anak-anak perempuan mereka.

Beranggapan bahawa menutup aurat hanyalah satu adat dan budaya semata-mata dan bukannya ada kaitan dengan agama, tidak ada kaitan dengan dosa pahala dan hari akhirat. Rasulullah saw memberi tahu di dalam hadisnya Israk dan Mikraj bahawa baginda melihat ada perempuan yang digantung kepalanya di dalam neraka jahanam kerana mendedahkan aurat.

Ini menunjukkan bahawa perkara aurat bukannya perkara yang boleh dipandang ringan. Ada ibu bapa yang tidak mengambil kisah apabila anak-anak mereka mendedahkan aurat di khalayak ramai lalu berlakulah perkara-perkara yang tidak diingini seperti zina, rogol dan sebagainya, maka pada masa itu barulah kedua ibu bapa merasa susah dan malu.

Puncanya ialah kerana mereka tidak mendidik anak-anak dengan didikan yang betul. Rasulullah saw pernah memberi tahu dalam hadisnya bahawa Allah SWT akan memasukkan kedua ibu bapa yang mempunyai tiga orang anak perempuan kemudian mendidik mereka secara didikan agama. Sahabat bertanya:

"Kalau ada dua orang anak perempuan?"

Baginda menjawab:

"Ya, walaupun dua orang."

Dapat difahami daripada hadis ini, iaitu kalau orang dapat menjaga anak-anak mereka dengan baik dan mengikut adab-adab Islam, akan dimasukkan ke dalam syurga, maka sebaliknya sesiapa yang tidak peduli terhadap pendidikan anak-anak akan menjadi sebab untuk dimasukkan ke dalam neraka.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Wahai orang-orang beriman, selamatkan diri kamu dan keluarga kamu daripada azab neraka."
(Surah Al-Taharim: ayat 6).

Rasulullah saw mengajar kita cara mendidik anak sebagaimana sabdanya yang bermaksud:

"Suruhlah anak-anak kamu sembahyang apabila berumur tujuh tahun. Pukul mereka apabila berumur sepuluh tahun jika tidak juga sembahyang serta pisahkan tempat tidur mereka."

Bukan sahaja kita wajib memerintah dan memukul anak-anak apabila berumur sepuluh tahun kerana tidak sembahyang tetapi juga hendaklah dibuat perkara yang sama ke atas mereka apabila tidak melakukan suruhan-suruhan agama yang lain seperti menutup aurat, puasa dan lain-lain.

Ramai ibu bapa pada akhir-akhir ini menjaga anak-anak mereka seolah-olah hanya memberi tempat tinggal, makan dan minum semata-mata seperti memelihara ayam, itik, lembu, kerbau dan kambing yang hanya bertujuan menggemukkan badan sahaja.

Percayalah apabila anak-anak itu diajar dengan akhlak yang baik, anak-anak itu akan memberi faedah kepada orang tuanya semasa hidup dan selepas mati, semasa sihat dan semasa sakit, di dunia dan di dalam kubur. Kita tidak mahu anak-anak yang menjadi beban dan celaka kalau tidak pandai mendidik mereka.

Walaupun sekadar tidak menutup aurat, anak-anak kita akan membawa celaka semasa hidup dan selepas mati. Marilah kita kembali kepada Allah dengan memberi perhatian kepada diri kita dan kepada anak isteri kita dengan jangan membiarkan mereka membuka aurat di khalayak ramai dan bergaul secara bebas yang kemudiannya akan membawa mala petaka kepada diri mereka, keluarga, masyarakat dan negara, seterusnya membawa bala di akhirat kelak kepada kita.

0 comments: