Iktibar perjuangan Hamas

Dalam memfokuskan usaha meningkatkan daya juang ahli PAS dengan mengambil iktibar daripada gerak kerja parti Hamas yang menang di Palestin. Dalam wacana singkat di Taman Melewar itu, pelbagai kupasan mengenai PAS dan Hamas telah dibincangkan oleh perwakilan, pembentang kertas kerja dan pemimpin. Semuanya mahu mencontohi semangat Hamas dalam menegakkan agama Allah di muka bumi ini.

Pengerusi Cesmac, Dr Muhammad Nur Manuty yang membentang kertas kerjanya bertajuk 'Meningkatkan Daya Juang Amilin: Pendekatan Hamas dan Ikhwan Muslimun' mengambil pendekatan membawa perbincangan kepada soal muhasabah parti. Fokusnya tetap berlegar sekitar pendekatan kepimpinan PAS dalam menyediakan kader-kader yang istiqamah, bersemangat dan bersetia dengan parti dengan menyingkap pengalaman Hamas. Penekanan dalam aspek tarbiyah untuk menyediakan pejuang yang istiqamah dilihat penting sekali memandangkan setiap ahli berperanan membawa imej dan mesej parti.

Bagaimanapun dalam membincangkan soal tarbiyah, kelompok persidangan juga tetap dicanang dengan semangat supaya berani mengkritik pemimpin. Kesedaran sama rata antara pemimpin dan ahli akan menjadikan sebuah parti itu mampu maju lebih jauh, dan inilah yang dilakukan oleh Hamas bagi menewaskan lawannya Fatah di Palestin, kata Muhammad Nur ketika menghuraikan soal wala dan kepimpinan. Meskipun ahli dan jentera parti dimestikan 'wala' kepada pemimpin, namun dicelah taat setia itu ahli juga perlu mencari ruang untuk mengkritik pemimpin, ujarnya.

Dalam Hamas sendiri, ahlinya akan mengkritik pemimpin secara terbuka supaya setiap gerak kerja parti terpandu dengan satu matlamat mendaulah Islam, katanya. Bagaimanapun di negara ini pendukung gerakan Islam agak berhati-hati dalam mengkritik pemimpin mereka kerana kemungkinan budaya yang berbeza dengan masyarakat Timur Tengah, kata Muhammad Nur. Kelangsungan daripada buah fikiran Muhammad Nur itu kemudiannya diteruskan oleh perwakilan yang bangun dalam sesi soal jawab. Dalam nada yang agak keras, seorang perwakilan yang menyatakan baru menyertai PAS menghentam sikap pemimpin yang katanya sering tidak menepati waktu. Sebagai contoh katanya, dalam kehadiran ijtimak kali ini, di mana jika mengikut jadual program jam 9.00 pagi seharusnya dimulakan majlis perasmian.

Bagaimanapun, ia lewat setengah jam setelah pemimpin tidak menepati waktu yang terjadual seperti dalam tentatif program, katanya. Sementara itu seorang lagi wakil Muslimat dari Gombak pula terkilan dengan sikap pemimpin yang dalam beberapa program sukar untuk menerima kritikan ahli. Malah segala yang mahu diutarakan dikesampingkan dengan jawapan yang tidak menyedapkan 'telinga', katanya. Terdahulu seorang perwakilan Muslimin dari Gombak juga mengkritik soal pembelaan terhadap Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang 'dimatikan' kerajaan dengan agenda menganaktirikan sekolah ini. Katanya, seharusnya PAS dalam isu tersebut terus istiqamah dan memfokuskan bantuan bagi menghidupkan SAR untuk terus menjadi institusi melahirkan ilmuan. "Kita tidak boleh hanya menyalah dan mengharap bantuan kerajaan sahaja dalam soal ini.Tetapi usaha mestilah dijalankan oleh PAS sendiri yang menerajui SAR-SAR ini," katanya. Kesemua kritikan 'kecil' itu perlu dihadam oleh pemimpin PAS dan ia perlu kepada penilaian dan penekanan kepada memperbaiki keadaan.

Sejauh mana pimpinan mahu bertindak terpulang kepada kebijaksanaan mereka sebagai penggerak PAS. Muktamar adalah wadahnya untuk terus menerima kritikan dari ahli. Segala yang akan dibentang dalam usul, mahupun ucapan perlu diambil berat untuk membangunkan sahsiah parti.

Daripada perkara sekecil isu sikap pemimpin hinggalah soal melibatkan 'ijtihad' dan peranan parti dalam menjadi pembela rakyat, semuanya perlu diambil kira. Dengan mengambil pendekatan Hamas dan Ikhwan sebagai contoh kemenangan, segala pengalaman dua parti ini yang boleh diadaptasi di Malaysia dalam menerajui gerakan umat Islam perlu digunakan. "Mengikut Hamas bukan bermakna berani menyediakan kader yang mampu membaling batu kepada kereta kebal pihak lawan, tetapi menyediakan semangat yang kental itu yang penting," kata Muhammad Nur pada akhir persidangan.

0 comments: